• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

UMNO Terengganu Nafi Ahli Parlimen, Adun BN sertai PPBM

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan seorang Ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, provokasi dilakukan pemimpin parti pembangkang tidak melemahkan semangat empat ahli parlimen dan 17 Adun BN negeri, sebaliknya akan terus menunaikan setiap tanggungjawab diamanahkan rakyat.

"Saya nampak hari ini, pembangkang cuba menutup isu parti mereka dengan menunding jari parti lain. Cukup-cukuplah, masing-masing jaga parti masing-masing. Tidak perlu provokasi dan cetuskan keadaan yang tidak baik kepada rakyat.

"Parti UMNO dan BN Terengganu tidak akan ambil peduli perkara sebegini, apa yang lebih besar sekarang ini adalah meneruskan tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat diutamakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pengkalan Titian, Lembah Harapan dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengadakan lawatan ke atas pesakit dan warga emas di Seberang Takir, hari ini.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, pemimpin parti pembangkang cuba menutup isu perpecahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini mengatakan seorang menteri kanan meletak jawatan.

"Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, empat pemimpin DAP Melaka mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Adun.

 "Disebabkan terdesak dan cuba menutup isu itu, pemimpin pembangkang terutamanya PPBM memviralkannya di laman sosial dengan mendakwa seorang Ahli Parlimen serta empat Adun BN Terengganu menyertai parti itu," katanya.

Menurut Ahmad Razif, tiada seorangpun Ahli Parlimen dan Adun BN di negeri ini meletak jawatan dan menyertai PPBM, walaupun terdapat bekas ahli serta pemimpin UMNO dilantik sebagai ketua bahagian parti itu.





Tag: