• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UMT Disaran Jalin Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri Dalam Program Kelestarian

Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.Foto oleh:Tengku Syamim

KUALA NERUS, 11 November - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menyarankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program-program kelestarian pengurusan sumber protein marin.

Baginda turut menzahirkan supaya pihak pengurusan universiti meneruskan usaha menjalankan penyelidikan dan membantu komuniti dalam konservasi sumber makanan, khususnya dalam komuniti nelayan.

Titahnya lagi, ianya adalah selari dengan slogan UMT iaitu 'Terokaan Seluas Lautan, Demi Kelestarian Sejagat'.

"Beta berharap usaha dipergiatkan untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran marin kepada mereka supaya kepupusan sumber marin tidak berlaku lagi.

"Oleh itu. beta menyeru agar semua pihak memberikan sokongan padu untuk meneruskan usaha yang dilaksanakan oleh universiti dan diteruskan bagi manfaat bersama," titah Sultanah Terengganu.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-16 di Dewan Sultan Mizan, di sini, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.

Baginda yang juga Canselor UMT turut bertitah supaya pihak universiti memperkasakan lagi penyelidikan dalam bidang perikanan dan penerokaan lautan termasuk mempertingkatkan penyelidikan dalam penanaman makanan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar UMT dapat bergerak bersama-sama rakan penyelidik ASEAN  dan antarabangsa  bagi memperkasakan lagi imej dan reputasi universiti dalam konservasi  hidupan laut yang terancam.

"Ini sekaligus menjadikan UMT sebagai hab rujukan bagi ilmu berkaitan koservasi dan biologi penyu di rantau ini,"titah baginda lagi.

Dalam pada itu, seramai 195 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah termasuk sarjana, sarjana muda (2,647) dan diploma (128) pada tahun ini.


Tag: