• 03 Dis 2021 | 27 Rabiul Akhir 1443

UMT Duduki Senarai 200 Universiti Terbaik Asia

 

KUALA TERENGGANU, 26 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT),berjaya menduduki senarai 200 universiti terbaik Asia berdasarkan Laporan QS Asia University Rankings 2021.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan,  QS Asia University Rankings menilai universiti di Asia melalui 11 petunjuk diantaranya reputasi, penyelidikan dan pengantarabangsaan.

Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni  Mokhtar berkata, UMT melonjak kepada kedudukan 195 iaitu meningkat sebanyak 48 tangga berbanding penarafan tahun lepas. 

Katanya, kedudukan UMT di kalangan 200 universiti terbaik Asia dilihat mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, meningkatkan kolobrasi bersama penyelidik luar negara dan memperluaskan jaringan kerjasama dengan industri. Di samping itu, pencapaian ini menonjolkan keterlihatan citra UMT di peta dunia.

“Ini merupakan pencapaian terbaik UMT sepanjang penubuhannya dan apa yang lebih membanggakan, UMT menunjukkan peningkatan ketara bagi 10 daripada 11 petunjuk yang dinilai. 

“Pencapaian ini juga memberi gambaran bahawa UMT diiktiraf oleh akademia antarabangsa dan juga industri memandangkan penarafan QS melibatkan tinjauan daripada kedua-dua pihak.

“Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan kepada hasil usaha warga UMT yang menunjukkan budaya kerja yang tinggi mutunya disamping komited di dalam memastikan strategi PSUMT yang direncana dapat dilaksanakan dengan baik.   ,”ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, kedudukan 195 Asia ini dicapai seiring dengan sasaran kedudukan 200 Asia seperti yang ditetapkan di dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT) bagi tahun 2020. 

Beliau turut berkata,  pemerkasaan berterusan terhadap penyelidikan, pengajaran, pengantarabangsaan dan citra universiti akan terus menjadi tumpuan utama UMT.

“Ia bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan penarafan tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang lain seperti mana terkandung di dalam pelan strategik universiti. 

“UMT percaya perlu ada keseimbangan di antara pencapaian di dalam penarafan antarabangsa dan juga keperluan memenuhi matlamat utama penubuhan sesebuah universiti dalam penyebaran dan penciptaan ilmu,”tambahnya.