• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

UMT Tawar Tiga Program Pengajian Baharu Sesi 2019/2020

Naib Cancelor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar


KUALA NERUS, 12 November- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memperkenalkan tiga program baharu pada sesi 2019/2020 dalam usaha melonjakkan nama universiti tersohor negara itu di persada antarabangsa. 

Naib Cancelor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, tiga program berkenaan adalah Sarjana Sains (Forensik Alam Sekitar), Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih) dan Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan hanya di UMT.

“Program yang ditawarkan ini seiring dengan kehendak Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mod pengajian tersebut mempunyai penglibatan industri dan merupakan bidang yang diperlukan bagi pasaran kerja masa kini.

“Pengambilan pertama bagi Sarjana Sains (Forensik Alam Sekitar) dibuka kepada 20 pelajar untuk mengikuti pengajian selama setahun setengah dan dua lagi program dibuka kepada 40 pelajar yang akan melibatkan tempoh pengajian selama tiga tahun setengah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-16 di Dewan Sultan Mizan, di sini, semalam.

Majlis pembukaan konvokesyen disempurnakan Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.
Seramai 2,970 graduan membabitkan enam fakulti diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung selama tiga hari sehingga 13 November ini.


Tag: