• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

UniSZA Sedia Kelas Tuisyen Percuma

KUALA NERUS, 5 November  – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melebarkan program kemasyarakatannya dengan menyediakan kelas tuisyen percuma khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Program 3T (Teens Tuition Teens).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, buat permulaan, seramai 40 pelajar dari keluarga B40 di daerah Kuala Terengganu  yang menetap di Flat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang  telah dipilih untuk program kali ini.

Katanya, ia  melibatkan  empat buah sekolah iaitu  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering.

“Program dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA (MPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Ladang itu akan diadakan selama dua tahun bermula pada 2 November 2020 sehingga 22 Disember 2022 bertempat di Bilik Kuliah, Kampus Perubatan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, program ini bertujuan untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai Hero Komuniti yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di daerah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Menurutnya lagi, seramai 20 orang fasilitator terdiri daripada pelajar Asasi (PUSPA) dan pelajar Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP)  diambil sebagai tenaga pengajar sepanjang program berlangsung.

“Sebanyak enam mata pelajaran yang akan diajar iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun pada tahun ini dan tahun 2021 pula kami rancang untuk kembangkan kepada pelajar Daerah Kuala Terengganu seramai 120 orang dan akan melibatkan 10 mata pelajaran.

“Dua aliran utama bagi program ini ialah Sains dan Perniagaan yang melibatkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Perakaunan,” jelas Mohd Afandi.