KUALA NERUS, 31 Disember - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah baharu apabila melancarkan skim biasiswa pascasiswazah sulung universiti itu, dikenali sebagai UniSZA BRIGHT, yang memberi tumpuan kepada pengembangan penyelidikan tahap tinggi melalui pembiayaan bersasar kepada pelajar cemerlang di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam mod penyelidikan.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam berkata, skim berkenaan diwujudkan bagi menyokong pelajar pascasiswazah yang mempunyai kualiti kajian tinggi dan melalui proses penilaian yang teliti.
"Dan untuk peringkat awal ini, kita mendapat penajaan berjumlah RM300,000. Dan kita sedang menjalankan proses untuk memilih calon-calon pelajar postgraduate ini untuk diberikan penajaan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Biasiswa UniSZA BRIGHT bertempat di Bangunan Canselori UniSZA, semalam.
Menurut beliau, peruntukan UniSZA Bright sebanyak RM300,000 itu merupakan hasil kerjasama dengan rakan industri, Takaful, yang akan dimanfaatkan kepada lima penerima terawal.
Prof. Fadzli menjelaskan bahawa UniSZA memberi penekanan kepada pelajar daripada golongan B40, khususnya graduan tempatan dan alumni UniSZA yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tetapi berdepan kekangan kewangan.
"Jadi sebahagian besar pelajar daripada Universiti Malaysia di peringkat undergraduate adalah dalam kalangan B40. Dan ada sebahagian daripada mereka bila kita bertanya mereka ingin menyambung pengajian di peringkat master ataupun PhD.
"Tapi kekangan mereka adalah, di mana bantuan kewangan yang boleh membantu mereka. Jadi, di sinilah peluang untuk kempen pengajian golongan B40 ke peringkat seterusnya, untuk kita tanggung melalui sumber-sumber ini," jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa skim ini tidak terhad kepada warganegara Malaysia semata-mata, namun turut terbuka kepada semua pelajar pascasiswazah UniSZA, termasuk pelajar antarabangsa.
"Itu pentingnya, apabila dana diberi kepada universiti ini menunjukkan bahawa agensi ini ataupun mana-mana badan korporat yang bersetuju dengan peruntukan diberi bahawa kualiti mahasiswa kita di peringkat post-graduate itu diperakui (dalam bidang berkaitan).
"Yang kedua, saya melihat bahawa apabila program ini dapat kita besarkan lagi, ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar universiti ini tidak dikecualikan oleh mana-mana agensi tokoh korporat ini.
"Jadi agensi ni bersedia untuk bersama dengan universiti menyumbang terutamanya bagi pelajar-pelajar yang memerlukan di peringkat B40," katanya.
Antara bidang yang layak untuk menerima skim tersebut adalah bidang Muamalat, Islamic Economics, Islamic Finance, Muamalat Administration, Halal Management, Islamic Banking, Risk Management and Takaful serta Islamic Financial Planning and Wealth Management.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan ekosistem penyelidikan universiti dengan menyasarkan sekurang-kurangnya RM1 juta menjelang akhir 2026 untuk memperbesarkan tabung UniSZA BRIGHT bagi usaha murni ini.
Tarikh permohonan akan dibuka mulai 1 Januari 2026 sehingga 15 Februari 2025. Manakala, keputusan permohonan akan mula dikeluarkan pada Mac 2026.
Bagi individu yang berminat, permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.pps.unisza.edu.my ataupun hubungi 09-8197997 jika mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan skim biasiswa tersebut.