• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

UniSZA Perkenal Tabung Wakaf Pendidikan


Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di pantai timur mewujudkan Tabung Wakaf UniSZA dalam usaha memberi kemudahan  kepada orang awam dan syarikat koporat temasuk industri menyalurkan dana.

Tabung wakaf UniSZA yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) itu dijalankan sejak 1 Ogos 2016 kini mempunyai dana terkumpul sebanyak RM3.46 juta .

Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, Tabung Wakaf UniSZA itu dilancarkan sebagai saluran utama kepada masyarakat untuk menyalurkan derma melalui konsep wakaf.
 
"Pemberian dana atau sumbangan itu akan dikumpulkan sebelum dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan umum di UniSZA sekaligus menjamin saham akhirat iaitu pahala yang berterusan kepada penyumbang.
 
"Wang yang diperolehi melalui Tabung Wakaf UniSZA itu akan digunakan untuk pembinaan Bangunan Pengajian Islam, Rumah Rehat UniSZA atau pembelian peralatan perubatan UniSZA selain kegunaan lain yang diperlukan di universiti berkenaan.

"Manfaat yang diperolehi daripada aset yang dibina itu  akan digunakan secara berterusan untuk kebaikan dan manfaat bersama," katanya kepada pemberita Pada Majlis Pelancaran Jawatankuasa dan Tabung Wakaf UniSZA, Kuala Nerus, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua MAIDAM Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail  dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim.

Ahmad Zubaidi berkata, Dana Wakaf UniSZA itu akan diuruskan Pejabat Wakaf dan Infaq (WAQIAH) UniSZA dan dipantau Jawatankuasa Wakaf UniSZA yang berada dibawah MAIDAM.

"Kami akan menyediakan pelbagai kemudahan dan saluran kepada orang ramai untuk membuat wakaf tunai.

"Dua bank sudah bersetuju untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang berminat membuat pemotongan secara auto debit pada setiap bulan.

 "Tabung-tabung juga akan diedarkan di masjid dengan harapan ia mendorong orang ramai untuk membuat wakaf tunai itu," katanya.


Menurutnya, selain pembabitan masyarakat, syarikat koporat dan industri di negeri ini juga disasarkan untuk menjayakan program itu.


"Sehingga kini pelbagai pihak koporat yang tampil menjadi penyumbang termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Terengganu Inc, Building Societ Berhad dan DSE Construction Sdn Bhd," katanya.








Tag: