• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UniSZA Pindahkan Pelajar Yang Terlibat Banjir ke Asrama

KUALA NERUS, 21 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak sedang giat memindahkan pelajar ke asrama selepas rumah sewa mereka dinaiki air.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar terbabit ke asrama selepas kediaman mereka dimasuki air.

“Syukur Alhamdulillah, setakat ini proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan.

"Petugas banjir UniSZA membawa 49 pelajar yang menyewa di sekitar Kuala Nerus ke asrama pelajar kampus di Gong Badak selepas dihubungi mangsa yang terlibat dan kita sentiasa bersedia untuk membantu dan menjaga keselamatan pelajar”, katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengangkutan bagi warga UniSZA yang terjejas.

Untuk sebarang urusan berkaitan  hal ehwal banjir, sila hubungi Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan mengikut kampus di Talian 24 Jam iaitu Kampus Gong Badak (09 668 7750) dan Kampus Besut (096993222 - Pos Pengawal) dan (01158883389 -  Bilik Gerakan).