• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UniSZA Terima Sumbangan Lebih RM3 Juta

KUALA TERENGGANU, 5 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima bantuan sumbangan wakaf, 'endowment', infak dan wakalah zakat berjumlah RM3,489,123.

Sumbangan itu dijayakan pada program Hi-Tea Diraja Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UNISZA ke-15 bertempat di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli hadir pada program berkenaan.

Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata sebanyak 12 industri terlibat dalam pemberian bantuan tersebut.

Jelas beliau, antaranya, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT) yang telah memberi sumbangan sebanyak RM2 Juta diikuti Lembaga Tabung Haji sebanyak RM350,000

“Turut bersama memberi sumbangan anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Terengganu Incorporated yang menginfak sebanyak RM100,000.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penyumbang yang telah bekerjasama dalam menjayakan projek dengan pihak UniSZA,” katanya pada majlis berkenaan.

Tambah Fadzli Adam, hasil pendanaan dan kerjasama daripada pelbagai agensi, UniSZA telah memainkan peranan yang signifikan kepada komuniti.

Ujarnya, projek Penanaman Keledek Vitato yang diusahakan bersama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dengan penyediaan ladang seluas 100 ekar bernilai RM 2 juta bagi Program Keterjaminan Makanan Sub Projek Pembangunan Tanah Berpotensi.

“Projek Agropreneur Melon Manis Terengganu yang dibiayai dan diusahakan secara bersama antara UniSZA, Yayasan Diraja Sultan Mizan dan CIMB Bank dengan belanja keseluruhan sebanyak RM300,000.00," jelasnya.

Beliau berkata, bagi menyuburkan segmen filantrofi khususnya Wakaf dan Endowmen, ‘Infak UniSZA’ telah dibangunkan sebagai platform pendanaan awam berteknologi fintech atau teknologi kewangan. 

Jelasnya lagi, selain daripada dokongan berbentuk kewangan, UniSZA menyeru pihak industri menyumbang dalam menjayakan gagasan UniSZA melahirkan graduan kalis masa depan. 

“UniSZA mendambakan graduannya bukan sahaja boleh dipasarkan, malah cakna, berkemampuan dan bersedia untuk menyumbang. 

“Antara ruang pengembangan potensi graduan adalah melalui syarikat pemula (start up company) dan bantuan strategik daripada sifu industri.

“Langkah ini membolehkan anak muda menguasai aspek know-how dalam membina ekonomi baharu merentasi cabaran dunia,” ujarnya.

 

 


Tag: