• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Urus Setia Wanita Terengganu Serius Bela Golongan Wanita

BACHOK, 11 September – Urus Setia Wanita Terengganu yang baru sebulan penubuhannya menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dalam membela golongan wanita Terengganu.

Hal tersebut dibuktikan melalui kunjung hormat mereka ke Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok bagi tujuan kolaborasi dalam usaha pemusatan data berkaitan wanita di Negeri Terengganu.

Menurut Penolong Pengarah Penyelidikan Urus Setia Wanita Terengganu, Dr Zakiyah Ahmad, kunjung hormat tersebut telah membuahkan idea kepada mereka untuk menjalankan kajian berkaitan wanita berdasarkan pemetaan kawasan.

“Kajian berdasarkan pemetaan kawasan ini, maksudnya ialah kita menilai apa-apa potensi dan masalah golongan wanita yang ada di kawasan-kawasan tersebut.

“Dan daripada situ, kita akan adakan kolaborasi dengan InsPEK bagi tujuan memulakan kajian berfokus di Terengganu, khusus bagi wanita,”ujarnya.

Barisan penyelidik di InsPEK UMK.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita di majlis kunjung hormat oleh Urus Setia Wanita Terengganu ke InsPEK UMK, baru-baru ini.

Katanya lagi, perbentangan di InsPEK itu memberi pendedahan kepada mereka tentang bagaimana analisa data dibuat daripada satu-satu kajian yang dijalankan, dalam keadaan yang sistematik dan efisien.

“Data-data yang mereka kumpul, menghasilkan ‘result’ (keputusan) daripada kajian mereka. Selepas kajian dibuat, data tersebut diletakkan dalam satu sistem yang hanya boleh diakses dengan klik sahaja (mudah akses).

“Maksudnya sistem ‘database’ (pangkalan data) yang mereka gunakan sangat canggih serta efisien dimana data tersebut dikumpulkan dalam satu ‘database’ bagi memudahkan ia untuk dianalisis.

“Persembahan data juga sangat mesra-pengguna, ianya dalam bentuk visual, ada grafik seperti graf yang amat memudahkan pembacaan, mudah untuk dibuat ‘comparison’ (perbandingan) di samping mudah untuk difahami oleh semua orang,”tambahnya. 

Dr Zakiah berkata, beliau  optimis, yang kerjasama tersebut semestinya akan memberi manfaat kepada kaum hawa berikutan dapatan daripada kajian yang akan digunakan oleh pihak Urus Setia Wanita untuk merangka program bersesuaian mengikut kawasan serta potensi individu wanita di situ.

Beliau turut melahirkan harapan agar kajian tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan dapat membantu kerajaan negeri mengenal pasti potensi wanita Terengganu di samping membantu Urus Setia dalam merealisasikan visi dan misi mereka.