• 19 Sept 2020 | 1 Safar 1442

Usahawan Perlu Peka Inisiatif Kerajaan Negeri

KUALA NERUS, 14 September - Para usahawan perlu peka dengan inisiatif kerajaan negeri berkenaan dana dan skim usahawan yang disediakan bagi menaikkan taraf sosio ekonomi rakyat Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kebanyakan usahawan tidak mempunyai maklumat tentang skim-skim dan bantuan yang disediakan menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mendapat manfaat tersebut.

"Sememangnya pihak kerajaan sangat prihatin dengan para usahawan kita khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Belanjawan Negeri Terengganu 2020 telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS).

Usahawan yang hadir tidak melepaskan peluang mengajukan soalan kepada wakil YPU.

"Malah Skim Pembiayaan Atas Talian Terenganu (SPINT) khas untuk mereka yang berniaga 'online'  selaras dengan keperluan perniagaan masa kini juga ada. Selain itu, Skim Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT), Tabung Siti Khadijah (TSK) dan tidak ketinggalan juga dana untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang disebut Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI) turut disediakan.

"Justeru boleh dikatakan segala segmen dalam dunia usahawan ini mendapat perhatian oleh pihak kerajaan," ujarnya ketika berucap pada Taklimat Dan Dialog IKS kepada para usahawan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading di sini kelmarin.

Usahawan yang hadir mendengar dengan penuh minat.

Ridzuan menegaskan, dalam dunia serba moden hari ini keupayaan mendapatkan maklumat sepatutnya tidak menjadi suatu halangan berikutan segala maklumat kini berada di hujung jari.

"Kesemua yang saya sebut adalah sebahagian daripada skim dan dana yang disediakan oleh kerajaan. Saya berharap agar selepas ini para usahawan kita pandai merebut peluang, lebih-lebih lagi dalam keadaan tekanan ekonomi yang dihadapi sekarang ekoran dari wabak COVID-19 ini,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berpesan kepada MPKK yang hadir agar menghebahkan segala maklumat hasil taklimat dan dialog kepada penduduk kampung masing-masing supaya mereka tidak terlepas peluang untuk mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengurus Pembangunan Usahawan, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad dan Eksekutif Kanan (Program Jangka Pendek), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Mohd Sayati Abd Wahab.


Tag: