KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus sangat bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan negeri menjadikan Hari Arafah sebagai cuti umum.
Katanya, setiap kali Hari Arafah menjelang tiba, kebesaran dan keistimewaanya dapat dirasai serta dihayati dengan penuh makna.
"Usaha memberikan kefahaman kepada rakyat secara beransur-ansur itu lebih baik daripada banyak sekali gus jadi 'bolok wok habis, comel dah tu',"ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ilmu pada Forum Malam Lambaian Arafah bersama Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah, di Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini, semalam.
Program tersebut telah dirasmikan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat.
Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata Terengganu telah mewartakan Hari Arafah sebagai cuti umum sejak tahun 2019 lagi.
"Kerana hendak bagitau rakyat bertapa besarnya Hari Arafah ini, kita hendak rakyat ini bertakwa.
"Kita berharap agar rakyat tolong kerajaan supaya sama-sama mewujudkan suasana takwa dengan menyambut baik setiap usaha dilakukan pemimpin negeri yang berterusan mengajak rakyat meraih ketakwaan agar 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera',"jelas beliau.
Sementara itu, Satiful berkata hasrat kerajaan negeri bukan hanya sekadar mahu rakyat bercuti sebaliknya memanfaatkan hari terbabit dengan menjalani ibadat seperti berpuasa serta menghadiri majlis ilmu bagi menambahkan pengetahuan.
"Itulah yang kita hasratkan bukan sekadar bercuti daripada kerja kita, tetapi mengambil manfaat bagi melaksanakan ibadat sebaik mungkin pada hari Arafah ini.
"Bersempena dengan Hari Arafah ini bersama-sama kita mendoakan supaya saudara kita, sahabat-sahabat yang sedang berada di Tanah Suci, Mekah dikurniakan haji yang mabrur.
"Kita di sini juga sama ada dalam kalangan yang pernah mengerjakan haji ataupun bakal menunaikan haji sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kesempatan untuk kita semua," katanya ketika merasmikan program.