• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Usul ‘Select Committee’ Dibentangkan Dalam Sidang DUN

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 15 November – Usul penubuhan jawatankuasa pilihan (select committee), Jawatankuasa Terpilih Semakan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, ia bertujuan untuk mengkaji dan menambah baik 'Standing Rules And Orders' DUN yang diwujudkan sejak tahun 1960.

“Supaya lebih tersusun, penggunaan bahasa yang standard, tambahan dalam edisi rumi dan cadangan bagi memasukkan perkara-perkara baru sesuai dengan perkembangan semasa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Menurutnya, beliau yakin pembentangan bajet kali ini yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar mengutamakan dengan membina ekonomi terjejas supaya  rakyat kembali ceria dan hidup seperti sebelum pendemik Covid-19 melanda.

“Saya yakin semua AYB bersetuju dengan saya dan mengharapkan YAB Dato' Seri Menteri Besar akan membentangkan bajet yang terbaik pada kali ini dalam suasana kita sudah berada dalam fasa empat menghadapi Covid-19 di mana hampir semua sektor samada dalam kerajaan atau swasta telah mula diaktifkan.

“Tetapi pada masa yang sama kita perlu beringat-ingat untuk terus menjaga SOP kerana peperangan kita menghadapi Covid-19 belum lagi berakhir. Hanya kepada Allah jualah kita bertawakal agar ujian dan musibah ini dihapuskan seberapa segera,” ujar Dato’ Yahaya.

Justeru itu beliau berharap agar AYB bertanggungjawab untuk meneliti setiap butiran bajet yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar sebelum membahas. 

“Dari segi semangat perlembagaan, kerajaan sudah tentu tidak boleh berbelanja walau satu sen pun pada tahun hadapan sekiranya rang undang-undang ini tidak diluluskan,” katanya.