• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Wanita Terengganu Akan Terus Diperkasa

KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan negeri dengan kerjasama Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) melalui Dasar Wanita Terengganu sentiasa menambah baik strategi dan perancangan bagi memastikan penglibatan wanita secara optimum dan sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata bagi merealisasikan lagi agenda pemerkasaan wanita di Terengganu, melalui USWA dan kerjasama agensi berkaitan beberapa program telah dirangka dan dirancang mengikut beberapa strategi.

“Antaranya ialah penerapan budaya ilmu dalam kalangan wanita Terengganu, penjenamaan Sayyidatina Aisyah sebagai ikon wanita Terengganu, mendedahkan dan melengkapkan pelbagai kemahiran untuk peningkatan taraf hidup wanita, transformasi budaya hidup wanita Terengganu ke arah kesejahteraan, penubuhan Pusat Pembangunan Wanita Terengganu serta strategi melahirkan wanita Terengganu yang berakhlak mulia dengan nilai ketimuran. 

“Program-proram yang di telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan berdasarkan strategi tersebut, antaranya ialah Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu (WINTER), Karnival Orang Puang Terengganu, Suara Hati Wanita, Jelajah Untukmu Wanita, Wanita Terengganu Bertadarus, ‘Fitness Centre’ dengan tema "Wanita Sihat, Wanita Sejahtera” , pelaksanaan Hari Sayyidatina Aisyah dan Pembinaan Modul Sayyidatina Aisyah untuk rakyat Terengganu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil  berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Manir, Hilmi Harun  dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Jelas Maliaman, pihaknya juga akan melaksanakan pelan strategik bagi melaksanakan dasar wanita kepada semua peringkat agensi dan badan berkanun.

Tambahnya lagi, seiring dengan mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu pelan pemberdayaan suri rumah Terengganu, beberapa strategi dibuat khusus buat golongan suri rumah.

“Ia bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dari agenda pemerkasaan wanita di negeri ini dilaksanakan melalui program Spa Percuma Suri Sejahtera, Konvensyen Suri Terengganu, Kelab Suri Sejahtera dan Bengkel Kemahiran Suri Terengganu,” ujar beliau.