lightning-solid
Berita :
Wanita Tonggak Keluarga, Pemacu Pembangunan Negara – Ketua Polis Dungun
Wanita Tonggak Keluarga, Pemacu Pembangunan Negara – Ketua Polis Dungun
Rohayati Ripin
24 Aug 25
194

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Memperkasa wanita dengan ilmu, kesedaran dan kemahiran adalah asas penting dalam membentuk kepimpinan yang mampu menjadikan mereka tonggak keluarga serta penyumbang utama kepada pembangunan negara.

Ketua Polis Dungun, Supritenden Maizura Abdul Kadir berkata, wanita merupakan pemimpin pertama dalam sesebuah keluarga, justeru mereka perlu diperkayakan dengan ilmu supaya proses pembesaran anak-anak dapat dibimbing mengikut landasan yang betul.

“Untuk menjadi seorang pemimpin, wanita mesti memperkayakan diri dengan ilmu terlebih dahulu. Dalam seminar ini, kita tekankan kepentingan memperkasakan wanita supaya mereka lebih sedar dan mampu membimbing keluarga ke arah yang lebih baik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai Seminar Wanita Terengganu.

Beliau turut menekankan keperluan menganjurkan kempen dan ceramah secara berterusan agar mesej kesedaran dapat disampaikan kepada semua wanita, tanpa mengira latar belakang dan lokasi.

Selain itu, katanya, wanita perlu diberi ruang dan peluang yang lebih luas untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, seterusnya diangkat dan diiktiraf sebagai pemimpin yang berintegriti.

“Wanita dicipta dengan sifat lemah lembut, namun dalam masa yang sama mereka memiliki ketegasan serta integriti. Potensi ini perlu diasah melalui lebih banyak program upskilling bagi memperkemaskan bakat kepimpinan wanita,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap dengan sokongan dan pengiktirafan sewajarnya, penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dapat dipertingkatkan, sekali gus menjadikan mereka pemangkin utama pembangunan masyarakat dan negara.


Tag :

Artikel Berkaitan