• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Warga Emas Lega 'Banjir Tak Jadi'

BESUT, 22 November - Sepasang warga emas dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, menarik nafas lega apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan kawasan rumah mereka terjejas banjir akibat hujan lebat yang berterusan.
 


Fatimah Muhammad, 78, menzahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Azbi.

"Syukur keadaan kembali seperti biasa, terima kasih kepada semua yang membantu.

"Beberapa hari hujan turun tanpa henti hujan, saya tidak dapat makan dan tidur dengan tenang kerana risau banjir akan melanda," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Sementara itu, menurut Azbi, kawasan Kampung Tok Saboh mengalami kenaikan air disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna.

"Oleh sebab itu saya menyewa jentolak untuk menggali parit dan membuka saluran air baru.

"Hasilnya, air surut dalam masa satu jam selepas tindakan tersebut diambil dan kini kawasan perumahan tersebut dilindungi daripada bahaya banjir.


"Alhamdulillah, air tidak akan memasuki rumah-rumah di sini. Saya akan terus berusaha untuk membantu dan mengurangkan risiko banjir di kawasan ini," kata Azbi Salleh.

Beliau juga memberi nasihat kepada semua warga Kuala Besut, khususnya yang mungkin terjejas banjir, agar bersedia untuk berpindah jika menerima arahan dari pihak berkuasa.

"Pentingnya kerjasama untuk berpindah lebih awal demi mengelakkan kemungkinan kemalangan yang tidak diingini," katanya.


 

 


Tag: