• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Warga Marang Terima Potongan Harga Barang Dapur Sehingga 20 Peratus

Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad 

MARANG, 24 Januari - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan asas lebih murah antara 15 hingga 20 peratus menerima sambutan baik dalam kalangan masyarakat Marang.

Penganjuran selama dua hari bermula 22 sehingga 23 Januari di Dataran Pejabat Daerah Marang tersebut menawarkan diskaun terhadap barangan dapur seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta produk harian lain.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat meringankan beban kos rakyat terutamanya dalam pembelian barangan harian.

“Penduduk setempat tidak terkecuali dengan masalah harga barangan, tentulah program ini dapat memberi kemudahan untuk membeli barangan yang lebih murah berbanding harga di pasaran seperti pasaraya dan supermarket.

"Saya juga berharap program ini dapat diwar-warkan kepada sedaramara dan sanak saudara agar dapat hadir untuk mengambil peluang ini bagi membeli bekalan yang secukupnya.

"Inisiatif program sebegini harap dapat dipanjangkan lagi dimasa akan datang agar masyarakat yang terkesan dengan pendapatan dan pandemik Covid-19 yang melanda negara kita hari ini dapat mengurangkan sedikit bebanan harian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau serta menyantuni para pengunjung sempena PJKM di Dataran Pejabat Daerah Marang, Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa (KPDNHEP) Terengganu, Nor Azmi Lamisza, Ketua Cawangan (KPDNHEP) Hulu Terengganu, Fauzi Mamat dan Pembantu Ehwal Ekonomi LKIM Terengganu, Mohd Farhan Haminullah.