• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Yang Di-Pertuan Muda Kurnia Sumbangan Raya

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan  sumbangan Sempena Hari Raya AidilFitri di Dewan Sivik Kuala Telemong, hari ini. Foto Oleh: Tg Syamim Tg Ismail

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya AidilFitri di Dewan Sivik Kuala Telemong, hari ini.

Turut berangkat kekanda Tengku Nadhirah Zahrah dan adinda Tengku Muhammad Mua’az.

Hadir sama YAM Tengku Sri Temenggung Raja; Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu; Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Dato' Jailani Johari; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Dato' Rozi Mamat.


Pada majlis itu, seramai 300 orang pelajar miskin dan anak yatim yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah dari dua daerah iaitu Hulu Terengganu (150) dan Marang (150) terpilih menerima sumbangan berupa baju raya, kurma dan wang tunai setiap seorang.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah masing-masing berkenan menyampaikan sumbangan kepada semua penerima.

Amir Hafizi (tengah)

Bagi Amir Hafizi Kamarudin ,9, dari Sekolah Kebangsaan Jerong, berkata ini adalah kenangan manis yang tidak akan dilupakan kerana terpilih menerima sumbangan daripada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu,Tengku Muhammad Ismail.

Amir Hafizi yang merupakan anak ketiga dari empat beradik kini tinggal bersama ibunya seorang penoreh getah apabila kedua ibu bapanya berpisah.

"Seronok sangat dapat bersalam dengan Tuanku Raja Muda yang sebelum ni hanya dengar cerita sahaja.

“Sumbangan baju ni akan saya pakai pada hari pertama dan duit raya pula saya nak simpan untuk persekolahan nanti.

"Beban mak dah kurang sikit, nanti bolehlah beli baju untuk adik beradik saya yang lain sebab yang dapat hari ini dah terlalu sempurna untuk menyambut Aidilfitri,"katanya.

Tag: