• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Yayasan Terengganu Jalin Kolaborasi Dengan UMP

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Yayasan Terengganu (YT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) semalam memeterai memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian bersama (MoA) bagi menjalin kolaborasi dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan. 

Melalui perjanjian persefahaman yang dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggariskan beberapa aktiviti kolaborasi akademik dan memberi khidmat nasihat bagi program seperti Program Asasi, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik. 

Lain-lain, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Program STEM dan program-program pengajian kerjasama antarabangsa UMP yang boleh memberi impak kepada pembangunan modal insan Negeri Terengganu.

Kerjasama ini juga bakal menyaksikan Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berperanan sebagai institut bahasa Mandarin yang menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dengan pelancaran tapak pengajaran Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Sekolah Menengah Imtiaz  Yayasan Terengganu. 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, MOU dan MOA yang dimeterai itu dijadikan platform untuk perkongsian ilmu khususnya program pendidikan yang berkait dengan bahasa antarabangsa. 

“Pelaksanaannya menepati piawaian kerana menggunakan tenaga pengajar berkelayakan dari Republik Rakyat China supaya kaedah pembelajaran lebih sistematik, efektif, mudah dipelajari serta dikuasai oleh para pelajar.

“Ini secara langsung, bertindak sebagai strategi serampang dua mata di mana dengan mengambil penutur jati Bahasa Cina untuk meningkatkan penguasaan bahasa Cina di kalangan pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Dan Memorandum Perjanjian (MoA) Antara Yayasan Terengganu Dan Universiti Malaysia Pahang Serta Perasmian Tapak Pengajaran Confucius Institute di Wisma Darul Iman.

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman menandatangani memorandum bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Maliaman Kasim.

Hadir menyaksikan detik bersejarah ini, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu , Dato’ Yahaya Ali, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao serta Attaché Kedutaan China di Malaysia, Zhang Tian.

Yahaya berkata, menerusi kolaborasi tersebut Negeri Terengganu turut mendapat kelebihan peluang pendidikan di universiti ternama di Republik Rakyat China serta akses kepada sokongan fasiliti dan kepakaran pendidikan di Universiti Malaysia Pahang. 

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

Malah katanya, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.

“Dengan penubuhan tapak pengajaran ini, UMP menerima sokongan daripada Universiti Hebei bagi penyediaan tenaga pengajar bahasa Mandarin di sekolah menengah Imtiaz ini. 

“Di samping peranan pengajaran bahasa, CI UMP juga berfungsi sebagai platform untuk pertukaran budaya antara Malaysia dan China, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.