Jalur Gemilang
Berita :
YB Cakna Komuniti 8.0 Labuhkan Tirai, Dekati Rakyat Menerusi Pelbagai Pengisian
YB Cakna Komuniti 8.0 Labuhkan Tirai, Dekati Rakyat Menerusi Pelbagai Pengisian
Ridhwan Balian
1 jam yang lepas
50

KEMAMAN, 12 Oktober – Program YB Cakna Komuniti (YBCK) 2026 melabuhkan tirainya menerusi siri kelapan yang berlangsung di Dataran Astaka Air Putih, Kemaman, pada 10 Oktober lalu, dengan pelbagai pengisian merangkumi aktiviti riadah, kebajikan dan kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat, selain mengeratkan silaturahim dan menyantuni masyarakat secara lebih dekat.

“Alhamdulillah, YB Cakna Komuniti telah berjaya dilaksanakan sebanyak lapan siri sepanjang tahun ini. Setiap lokasi membawa pengalaman tersendiri, namun matlamat kita tetap sama, iaitu mendekati rakyat dan memastikan kebajikan masyarakat terus diberikan perhatian.

“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti bersama komuniti, tetapi ruang untuk mendengar, bertanya khabar dan melihat sendiri keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Siri terakhir yang menghimpunkan komuniti Kampung Air Putih dan Dadong itu dimulakan dengan aktiviti brisk walk sejauh tiga kilometer, melibatkan kira-kira 250 peserta dengan tema pakaian batik yang menyerlahkan identiti dan suasana setempat.

Peserta turut diberikan bebola kosong sebelum memulakan perjalanan, manakala nombor cabutan bertuah diberikan kepada peserta yang berjaya menamatkan laluan untuk cabutan pada majlis perasmian.

Program diteruskan dengan aktiviti minum pagi bersama rakyat, diikuti pelbagai permainan dan pertandingan yang melibatkan semua peringkat umur, termasuk pertandingan mewarna, boling padang, timbang bola, radio buruk, kereta api gula-gula, bola beracun, makeup blind, musang berjanggut, tuju gol dan colour blind.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang serta cabutan bertuah yang menambahkan kemeriahan suasana, sekali gus menyediakan ruang interaksi santai antara pemimpin dan masyarakat.

Selain aktiviti riadah, pengisian kebajikan turut menjadi antara komponen utama YBCK menerusi program ziarah ke 10 buah rumah kebajikan di Kampung Teladas, Air Putih, Dadong, Tebak, Batu 16 dan berakhir di JPKK Batu 14, Kemaman.

Ziarah berkenaan melibatkan penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai bagi membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan, dengan penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mengenal pasti mereka yang layak memohon bantuan.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz turut menyantuni agensi kerajaan dan rakan kerjasama yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat sepanjang program berlangsung, selain menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka.

Antara rakan kerjasama yang terlibat termasuk Maxis, CelcomDigi, Klinik Hijraa dan pelbagai pihak lain yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

YB Cakna Komuniti 2026 memulakan perjalanan di Mak Chili pada 25 April, diikuti Cerul pada 6 Jun, Seberang Tayor pada 19 Jun, Binjai pada 7 Ogos, Pasir Gajah pada 29 Ogos, Neram 1 pada 12 September, Pasir Minal pada 26 September dan berakhir di Dadong serta Air Putih pada 10 Oktober.

Mohd Hafiz merakamkan penghargaan kepada barisan penggerak utama, petugas komuniti, JPKK, agensi kerajaan, rakan kerjasama dan seluruh masyarakat yang memberikan sokongan bagi memastikan kelancaran setiap siri.

Beliau berharap semangat kebersamaan yang dibina menerusi program berkenaan dapat diteruskan dalam usaha memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping memastikan agenda kesejahteraan komuniti terus menjadi keutamaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan