• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan

BESUT, 28 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM500,500 bagi membina kiosk perniagaan untuk usahawan di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 77 buah kiosk perniagaan telah dibina. 

"Bagi Parlimen Besut sahaja, 18 unit telah dihantar ke lokasi terpilih seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, DUN Kota Putera dan DUN Kuala Besut melibatkan peruntukan sebanyak RM117,000. 

"Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar gerai-gerai di Terengganu lebih bersih dan menarik sekaligus dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam membantu meningkatkan hasil jualan pengusaha,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewa Program Gerai Maju di Besut, semalam. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh. 

Tambah Nurkhuzaini, beberapa syarat telah ditetapkan untuk memohon Program Gerai Maju tersebut. 

"Kesemua kadar sewaan bagi 77 buah kiosk ini hanya serendah RM150 untuk sebulan. 

"Permohonan gerai ini adalah untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 55 tahun serta mempunyai pendaftaran perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan," katanya. 

Nurkhuzaini juga berharap agar usahawan yang diberi peluang menyertai Program Gerai Maju dapat memberi tumpuan dan komitmen tinggi dalam menjalankan perniagaan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan. 

"Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada kerajaan negeri bahawa pelaksanaan Program Gerai Maju ini merupakan salah satu program terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan-usahawan untuk menjalankan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan. 

"Dalam jangka masa panjang, program ini juga diharapkan menjadi contoh kepada peniaga-peniaga lain untuk menaiktaraf gerai-gerai mereka sepertimana kiosk ini yang lebih kemas dan mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.
 


Tag: