PATTANI, 24 Julai – Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) menganjurkan lawatan kerja tiga hari dua malam ke selatan Thailand bagi membuka peluang jaringan dan kerjasama perniagaan antara usahawan tempatan dan rakan niaga dari negara jiran itu, bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, lawatan yang disertai lebih 30 wakil agensi keusahawanan negeri dan persekutuan itu akan meninjau beberapa lokasi strategik di Pattani dan Hatyai yang terkenal sebagai pusat perniagaan serantau.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan memperkukuh jaringan perniagaan rentas sempadan serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan usahawan Terengganu ke pasaran antarabangsa.
“Lawatan ini menjadi platform penting untuk peserta bertukar pandangan, meneroka peluang kerjasama dan membina hubungan jangka panjang dengan usahawan Thailand, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelancongan.
“Ia juga memberi peluang kepada usahawan Terengganu meneroka kaedah pembangunan produk yang lebih kreatif, meningkatkan nilai tambah, serta memastikan produk mereka mampu bersaing dalam pasaran terbuka,” katanya kepada pemberita.
Program itu turut melibatkan sesi padanan perniagaan (business matching), lawatan ke premis perniagaan terpilih serta perbincangan dua hala bersama wakil agensi berkaitan daripada kedua-dua negara.
“Melalui program ini, peserta bukan sahaja dapat mengenal pasti peluang pasaran dan potensi industri baharu di Thailand, malah berpeluang memahami proses perniagaan import-eksport secara lebih mendalam sebagai persediaan menghadapi cabaran lambakan produk luar,” jelasnya.
Ariffin berkata, inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor keusahawanan, khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam era globalisasi.