• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Zakir Naik Antara Tokoh Hadir Pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023

KUALA TERENGGANU 23 Mei - Pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik adalah tokoh yang akan hadir pada Persidangan Antarabangsa Terengganu atau Terengganu International Summit (TIS) 2023 anjuran kerajaan negeri bakal berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam pada 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran pertama kali itu turut mendapat kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Yayasan Permata Ummah serta Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Bertemakan ‘Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global’,TIS 2023 akan menghimpunkan para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu- isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk kontemporari, politik dan kesatuan ummah, serta meneroka penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.

“Ia juga akan menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, ahli politik dan pendakwah Islam antaranya Senator Dato' Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Dr. Hj. Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia) dan Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammed Ibrahim (Sudan) selain Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan ucaptama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Pejabat TSIS, hari ini.

Katanya, menyedari pelbagai isu dan cabaran serta ancaman terhadap agama Islam yang berlaku seperti Islamaphobia dan sebagainya, persidangan kali ini dilihat amat relevan bagi membincangkan perkara berkaitan Ta'ayush dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari, Uslub Dakwah dalam Masyarakat Majmuk Kontempori serta Politik Islam dan Perpaduan Ummah dan lain-lain lagi.

“Perlu difahami bahawa Islam adalah agama rahmatan lil'alamin. Berteraskan asas akhlak, kesatuan ummah, kedamaian dan progresif, Islam berkembang ke seluruh pelusuk alam.

“Kedudukan Islam yang merentasi pelbagai bangsa dan budaya menyebabkan ia menjadi agama yang sarat dengan nilai bahkan penerimaan Islam terhadap nilai tempatan sebagai sebahagian cara hidup, selagi menepati akidah menjadikan Islam agama amat 'comprehensive',” jelasnya.

Katanya, besar harapan beliau agar impak serta resolusi yang akan diperolehi daripada program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia.