• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Zon Larangan Merokok Bakal Diperluaskan

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Jabatan Kesihatan negeri sedang meneliti cadangan peluasan kawasan yang digazetkan sebagai Kawasan Bebas Asap Rokok (BAR) di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, cadangan peluasan Kawasan BAR ini akan diperluaskan ke setiap daerah dengan matlamat sekurang-kurangnya setiap daerah mempunyai satu Kawasan yang digazetkan sebagai Kawasan BAR.

“Buat masa ini, hanya Taman Awam Batu Buruk sahaja yang yang telah diwartakan sebagai kawasan BAR di Terengganu pada 1 Julai 2017.

“Kawasan yang diwartakan adalah bermula dari Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang) termasuk kawasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), pesisir pantai hingga ke Taman Rekreasi Batu Buruk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambah Wan Sukairi, pihaknya komited untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bebas asap rokok bagi meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Terengganu dengan melindungi hak masyarakat daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap rokok.