Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja

KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengetuai delegasi misi kemanusiaan ke Kemboja bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, mewakili 472 peserta dari Terengganu yang menyertai program tahun ini.

Misi anjuran bersama dua badan bukan kerajaan, NISA’ Terengganu dan JANITA, membawa semangat ukhuwah dan amanah rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada masyarakat Islam di pedalaman Kemboja.

Menurut Zuraida, proses penyembelihan haiwan korban dilaksanakan pada 8 dan 9 Jun, manakala program kebajikan khas untuk 200 keluarga asnaf di sempadan Vietnam pula dijadual berlangsung pada Hari Raya keempat. 

“Program ini satu bentuk dakwah dan kasih sayang sesama umat Islam di rantau ini. 

“Kita ingin sampaikan bahawa saudara kita di Kemboja tidak bersendirian,” katanya sebelum berlepas ke lokasi misi.

Beliau memaklumkan bahawa gangguan capaian internet mungkin berlaku kerana lokasi pelaksanaan berada di kawasan pedalaman, menyebabkan kemas kini perjalanan misi akan dikongsikan sedikit lewat bergantung kepada kekuatan liputan.

Meskipun berhadapan cabaran logistik dan komunikasi, Zuraida menegaskan bahawa semua usaha telah dirancang rapi untuk menjamin kelancaran misi yang dijangka berlangsung selama beberapa hari.

“Kami membawa amanah rakyat Terengganu dan berharap seluruh perjalanan ini dikira sebagai ibadah dan diberkati Allah SWT,” katanya. 

Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta korban atas kepercayaan yang diberikan dan memohon doa agar misi berjalan lancar serta semua delegasi pulang dengan selamat.