Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
KUALA TERENGGANU, 19 April — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas tindakan tegas dan berpandangan jauh mengharamkan penjualan serta penggunaan rokok elektronik (vape) di negeri ini.
“Dengan penuh rasa penghargaan dan kesyukuran, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri atas langkah berani ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, isu vape ini pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini dan kini menjadi kenyataan hasil komitmen bersama semua pihak demi menjaga kesejahteraan rakyat.
“Keputusan ini amat dialu-alukan, khususnya dalam usaha menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, terutamanya golongan muda yang semakin terdedah kepada bahaya vape,” ujar Zuraida.
Beliau turut menyatakan bahawa langkah ini selari dengan maqasid syariah yang mengutamakan penjagaan nyawa dan kesihatan serta mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap gejala sosial yang semakin membimbangkan.
“Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak, langkah ini akan memberi kesan positif kepada masa depan anak-anak Terengganu,” tambah beliau lagi.