KUALA TERENGGANU, 21 April – Kerajaan Negeri disaran memperkukuh pengurusan fiskal melalui pendekatan berhemat dan tersusun bagi memastikan kemampanan ekonomi jangka sederhana, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan global ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor berkata, antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah penginstitusian pendekatan pengukuhan fiskal menerusi kerangka belanjawan berasaskan keberhasilan.
Menurutnya, agihan peruntukan negeri wajar dijajarkan semula ke arah sektor yang mempunyai kesan pengganda tinggi seperti sekuriti makanan, tenaga serta sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Langkah ini penting bagi memastikan peruntukan sumber dapat dioptimumkan di samping menjamin kemampanan fiskal dalam tempoh jangka sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja dalam isu berkaitan ekonomi negeri, di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida turut menekankan kepentingan memperkukuh keterjaminan makanan melalui peningkatan pengeluaran domestik secara agresif.
Jelasnya, kerajaan negeri perlu mempercepatkan pelaksanaan zon pertanian berintensiti tinggi dengan sasaran peningkatan hasil antara 15 hingga 20 peratus.
“Usaha ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada import, malah berperanan sebagai mekanisme menstabilkan tekanan harga dalam rantaian bekalan makanan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas keprihatinan terhadap nasib golongan petani, penternak dan nelayan.
Katanya, peruntukan sebanyak RM2.9 juta bagi melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) merupakan langkah tepat dalam membantu meringankan beban kewangan golongan terbabit.
“Keputusan ini amat signifikan selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi warga tani susulan krisis global yang melanda dunia ketika ini,” katanya.
Tag :