lightning-solid
Berita :
TSG Pertaruh Empat Muka Baru Dalam Misi Takluk Asia
TSG Pertaruh Empat Muka Baru Dalam Misi Takluk Asia
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 hari yang lepas
29

KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) hari ini, memperkenalkan empat tonggak import baru dalam menghadapi musim perlumbaan tahun 2026.

Juara Peringkat 7 Le Tour de Langkawi 2025 yang berasal dari Great Britain, Zeb Kyffin dan pemenang jersi Raja Bukit di Tour Down Under, Fergus Browning dari Australia diumumkan menyertai pasukan bagi membantu TSG merampas kembali kedudukan nombor satu Asia serta menghuni kelompok tiga terbaik bagi World Continental Team tahun ini.

Selain itu, pakar pecut dari Perancis, Pierre Barbier dan pelumba muda Sepanyol, Juan Pedro Lozano Navarro turut ditampilkan sebagai pelumba TSG bagi musim perlumbaan kali ini.

Pelumba-pelumba baru itu dijangka  menambah kekuatan pasukan yang kini memiliki tujuh pelumba import termasuk Adne Willemjan Van Engelen (Belanda), Vadim Denisovich Pronskiy (Kazakhstan) dan Matias Bjorn Bregnhoj (Denmark).

Kehadiran pelumba baru menyaksikan TSG mengugurkan pelumba Eritrea, Metkel Eyob Tewedeberhan, Anatolii Budiak (Ikraine), Aiman Cahyadi (Indonesia) serta Stefan De Bod (Republik Afrika Selatan) yang mendapat tawaran pasukan lain.

Bagi slot tempatan, TSG memperkenalkan pelumba akademinya, Muhamad Qayyim Mohd Saipul Anuwai menyertai senarai 15 pelumba yang diketuai Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Paling mencuri tumpuan, TSG tampil musim ini tanpa kelibat jaguh terbaiknya iaitu Mohd Harrif Salleh yang bersara tahun ini.

Dalam majlis memperkenalkan pelumba yang berlangsung di Primula Beach Hotel hari ini, TSG turut mengumumkan penerimaan tajaan keseluruhan sebanyak RM11 juta bagi saingan tahun 2026.


Tag :

Artikel Berkaitan