• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir : Enam Sekolah di Terengganu Ditutup

Foto: gambar hiasan

KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Gelombang banjir kali keempat di Terengganu menyaksikan enam sekolah di tiga daerah terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana hari ini, setelah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, ia melibatkan penutupan tiga sekolah di Dungun, dua di Hulu Terengganu dan satu di Setiu.

"Tiga sekolah ditutup di Dungun ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kuala Jengal dan SK Kampung Shukor.

"Selain itu, di Hulu Terengganu melibatkan sekolah seperti SK Bukit Tadok dan SK Kua manakala di Setiu, sekolah yang ditutup pula ialah SK Kampung Buloh," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Sementara itu, Jelani berkata terdapat tiga sekolah di Setiu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penempatan mangsa banjir dalam gelombang keempat kali ini.

"Tiga sekolah yang dijadikan PPS di daerah Setiu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap, SK Seri Kasar dan SK Kampung Bukit.

"Kesemua tiga sekolah itu tetap beroperasi seperti biasa hari it ini kerana mangsa banjir ditempatkan di bangunan yang berlainan dan tidak mengganggu sesi pembelajaran di sekolah," ujarnya.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,559 mangsa daripada 471 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.

Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 32 PPS telah dibuka di Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.


Tag: