• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

i-Fiitri Bantu Ibu Bapa Sediakan Kelengkapan Raya Anak

DUNGUN - Warga Dungun yang menerima Bantuan i-Fitri melahirkan kesyukuran kerana kerajaan negeri telah meringankan perbelanjaan mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Azizah Mat Salleh, 58 melahirkan rasa syukur diatas keprihatinan kerajaan Terengganu membantu rakyat yang terpaksa berhadapan dengan harga barang yang semuanya meningkat. 

"Saya berbangga sangat menjadi rakyat Negeri Terengganu kerana kerajaan sentiasa bantu rakyatnya, hari ni tolong rakyat untuk sambut raya dengan lebih meriah," kata ibu enam orang anak itu. 

Azizah adalah salah seorang daripada 5,114 orang penerima Bantuan i-Fitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang menerima wang tunai sebanyak RM300 di Majlis Penyerahan Bantuan i-Fitri Peringkat DUN Rantau Abang di Dewan Arena Merdeka di sini. 

Majlis yang disempurnakan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun itu turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Dungun, Fairul Hisham Mat dan wakil Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) Alif Aiman Mohd Zaki. 

Manakala seorang ayah sembilan orang anak, Mohd Riduwan Mamat, 45, berkongsi kegembirannya menerima bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan kewangan untuk membeli baju raya untuk anak-anaknya.

"Syukur Alhamdulillah, dapatlah beli baju raya anak-anak dan buat persiapan raya dalam keadaan harga barang mahal sekarang ni," katanya yang tinggal di Kampung Gong Pasir.

Sementara itu, dalam ucapannya Alias mengingatkan orang ramai yang hadir supaya tidak lupa untuk membayar zakat fitrah. 

" Jangan sampai luput waktu untuk bayar zakat fitrah iaitu selepas solat hari raya, sediakan satu peruntukan dalam keluarga yang mampu bagi hendak membayar zakat fitrah, mesti ingat tu," ujarnya. 


Tag: