Oleh : Fatimah Din
MARANG, 29 Ogos – Penggunaan daun lerek menjadi kelainan yang membezakan Lemang Salman daripada lemang lain, sekali gus mendapat permintaan dalam kalangan penduduk setempat.
Pengusahanya, Salman Al-Farisi Mamat, 43, berkata penggunaan daun lerek berbanding daun pisang menjadikan lemang yang dihasilkannya lebih berminyak dan berlemak.
“Antara kelainan lemang saya dengan lemang lain ialah saya masih mengekalkan penggunaan daun lerek kerana ia sudah menjadi ‘trademark’ Lemang Salman,” katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Menurutnya, meskipun daun lerek sukar diperoleh kerana tumbuh di kawasan tanah lembap, diaetap mahu mengekalkan penggunaannya bagi memastikan keunikan rasa lemang tersebut.
Salman yang berasal dari Kampung Jerung Seberang, Pengkalan Berangan berkata, beliau memilih perniagaan lemang kerana mahu mengekalkan makanan tradisional yang semakin kurang dijual di luar musim perayaan.
“Saya mula berniaga sebelum PKP dengan belajar membuat lemang daripada Pok Zul yang juga merupakan saudara saya,” ujarnya.
Jelasnya, antara cabaran utama perniagaan tersebut ialah mendapatkan daun lerek serta mengawal api ketika proses membakar lemang, manakala bekalan buluh lebih mudah diperoleh dengan bantuan penduduk yang masuk ke hutan mencari stok.
Antara pelanggan tetapnya ialah penduduk Kampung Sentul Patah, Rhu Rendang, Marang, dengan pembelian terbanyak mencecah 20 batang lemang dalam satu-satu masa.
Beliau berkata, proses menyediakan dan membakar lemang mengambil masa antara tiga hingga lima jam, manakala jualan dibuka setiap Khamis bermula jam 1 tengah hari sehingga habis dijual.
Lemang Salman dijual pada harga antara RM10 hingga RM15 sebatang mengikut saiz dan orang ramai yang berminat boleh menghubunginya di talian 013-948 0406.