SETIU, 22 November – Hasrat untuk mengubah landskap dan memajukan Bandar Permaisuri kini mula direalisasikan menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Permaisuri yang bernilai RM9.3 juta.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kerja-kerja awalan melibatkan perobohan deretan kedai berhampiran kawasan bukit di bandar berkenaan telah mula dijalankan sejak minggu lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan tersebut.
Menurutnya, pembangunan kawasan berkenaan merupakan antara impian utama beliau sejak diberi mandat sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2018 dalam usaha mengeluarkan Bandar Permaisuri daripada kepompong ketinggalan pembangunan berbanding bandar-bandar lain.
"Selama ini pemandangan Bandar Permaisuri agak terlindung di sebalik bukit. Justeru, saya telah mencadangkan pembangunan kawasan ini agar wajah bandar dapat diubah dan lebih terbuka untuk pembangunan baharu," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau menjelaskan, cadangan pembangunan berkenaan bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dibangkitkan secara konsisten sejak tahun 2020 melalui siri perjumpaan bersama menteri-menteri berkaitan di Parlimen serta perbahasan di Kamar Khas Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut mengenai perincian projek yang dikenali sebagai TOD Permaisuri itu, beliau memaklumkan pelaksanaannya terbahagi kepada dua fasa utama.
"Fasa pertama melibatkan kerja-kerja pembangunan dan penyediaan tapak kawasan TOD, manakala fasa kedua pula memfokuskan kepada pembinaan premis-premis perniagaan oleh pelabur yang berminat serta berkelayakan,"katanya.
Berdasarkan jadual pelaksanaan, tarikh mula masuk tapak bagi projek ini telah ditetapkan pada 27 September 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Mac 2028.
Beliau berharap projek berimpak tinggi itu akan menjadi pemangkin utama dalam merancakkan lagi ekonomi setempat serta menarik lebih banyak kemasukan pelabur luar ke daerah berkenaan.
"Kita mahu melihat Bandar Permaisuri muncul sebagai sebuah bandar yang lebih maju, tersusun dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Setiu pada masa hadapan," ujar beliau.