Jalur Gemilang
Berita :
KMI Terus Perkasa Perkidmatan, Kesihatan Selepas 20 Tahun
KMI Terus Perkasa Perkidmatan, Kesihatan Selepas 20 Tahun
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
130

KUALA TERENGGANU, 22 November – KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu) komited memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan pengalaman pesakit selaras dengan perubahan landskap penjagaan kesihatan selepas 20 tahun beroperasi.

Pengurus Besarnya, Ghazali Zainal, berkata tempoh dua dekad itu bukan sekadar pencapaian usia, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang yang dipenuhi dedikasi, ketekunan, pertumbuhan serta kepercayaan masyarakat dan organisasi yang menyokong KMI sejak ditubuhkan pada 2006.

Menurut beliau, KMI Kuala Terengganu terus memainkan peranan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada masyarakat di Terengganu dan Pantai Timur.

“Dua puluh tahun bukan sekadar angka. Ia mewakili dua dekad dedikasi, ketekunan, pertumbuhan dan paling penting, kepercayaan serta sokongan masyarakat dan organisasi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Malam Penghargaan Ulang Tahun Ke-20 KMI Kuala Terengganu Medical Centre.

Ghazali menambah, KMI perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan sektor kesihatan melalui penambahbaikan perkhidmatan, penerapan inovasi serta usaha meningkatkan pengalaman pesakit.

Katanya, komitmen KMI kekal untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti dengan mengutamakan nilai belas ihsan, profesionalisme dan integriti, selaras dengan aspirasi “Leading Healthy Life”.

“Kami berhasrat untuk terus menambah baik perkhidmatan, menerima inovasi, meningkatkan pengalaman pesakit dan membina kerjasama lebih kukuh bersama pelanggan korporat serta rakan kongsi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelanggan korporat dan rakan perniagaan yang disifatkan sebagai antara penyumbang penting kepada perkembangan KMI sepanjang tempoh dua dekad.

Ghazali menambah, hubungan yang dibina bukan sahaja berasaskan urusan perniagaan, malah turut bertunjangkan kepercayaan, persefahaman dan saling menghormati.

"KMI berharap hubungan berkenaan dapat terus diperkukuh bagi membuka peluang kerjasama baharu dan memberi nilai lebih besar kepada masyarakat yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

“Perayaan malam ini bukan sahaja meraikan pencapaian kami, tetapi turut meraikan hubungan yang memungkinkan pencapaian tersebut berlaku,” katanya.

KMI Kuala Terengganu Medical Centre ditubuhkan pada 2006 dan kini memasuki tahun ke-20 perkhidmatannya kepada masyarakat Terengganu dan Pantai Timur.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan