• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

RM1 Juta Peruntukan Segera Baik Pulih Kuarters IPD Marang

MARANG, 10 Julai - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membaiki 20 daripada 166 kuarters di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah diumumkan dalam kunjungan dan ramah mesra Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian  Dalam Negeri (KDN) peringkat negeri Terengganu.

Ujarnya, 20 unit kediaman anggota polis itu telah mengalami kerosakan sehingga tidak dapat didiami.

"Apa yang kita kenal pasti adalah bumbung yang bocor itu membawa kepada syiling, cat pudar dan juga mengalami kerosakan lantai.

"Sebab itu saya minta disegerakan sejumlah peruntukan dan Perdana Menteri telah mengumumkan satu juta, tekad kita dengan satu juta ini kita boleh segerakan pembinaanya dalam hujung September atau Oktober," ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang lain, Saifuddin menafikan telah mengeluarkan arahan penutupan balai polis selepas 10 malam.

Katanya, penutupan hanya membabitkan pintu pagar dan bukannya balai polis.

"kita ada sebanyak 810 balai polis dan 127 IPD di seluruh negara, penutupan pintu pagar ini hanya membabitkan kawasan berisiko tinggi," ujarnya.