• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

100 Asnaf Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat TM

KUALA TERENGGANU, 18 Januari- Seramai 100 asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini menerima sumbangan zakat daripada Telekom Malaysia (TM) Berhad Cawangan Terengganu berjumlah RM15,000.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Pengurus Besar TM Berhad Cawangan Terengganu, Maliki Harun di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, hari ini.

Wan Sukari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai berserta barangan keperluan bernilai RM 150.

“Terima kasih kepada pihak TM kerana memilih DUN Wakaf Mempelam sebagai sebagai salah satu DUN untuk menerima sumbangan zakat daripada pihak syarikat.

“Kita harapkan dengan penyampaian agihan ini akan memberi sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan khususnya penerima zakat yang merupakan asnaf dalam DUN ini,” ujarnya selepas menyempurnakan majlis agihan tersebut.

Sementara itu, Maliki berkata, pihaknya akan mengadakan program agihan zakat dari semasa ke semasa berdasarkan pendapatan diperoleh syarikat.

“Ini adalah sebahagian zakat yang kita sumbangankan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan sebahagiannya kita dapat balik untuk buat program agihan sebegini.

“Pada hari ini kita bekerjasama dengan DUN Wakaf Mempelam, dan kalau ada rezeki lebih kita akan perluaskan lagi ke kawasan lain,” ujarnya.