• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

100 Fakir Miskin Pulau Redang Terima Sumbangan

SETIU, 7 September - Lebih 100 orang fakir miskin yang tinggal di Pulau Redang menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dalam satu program yang berlangsung di Balairaya Kampung Baru, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa. Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran atas kejayaan penganjuran program tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakannya.

Katanya, di bawah portfolio beliau, pihaknya akan memastikan kebajikan penduduk di Pulau Redang diberikan perhatian sewajarnya.

"Alhamdulillah, hari ini saya dapat bersama-sama penduduk di Pulau Redang untuk menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri Terengganu.

"Insya-Allah, kita akan membantu mereka bukan sahaja dalam menghadapi kesusahan atau bala bencana, bahkan kami berhasrat melihat lebih daripada itu dalam memastikan anak-anak mereka juga menerima pendidikan yang baik dan dapat melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program kebajikan yang bertemakan 'Terengganu Prihatin, Redang Sejahtera' di Pulau terbabit baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan, Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Mohd Shahrir Ghani, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail.

Dalam program tersebut, kerajaan negeri telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan sekampit beras kepada lebih 100 orang fakir miskin serta mengadakan jamuan rakyat kepada seluruh penduduk di sana.

Taklimat dan sesi dialog antara pihak Tabung Darul Iman (TDI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat info yang terkini.

Manakala, melalui kerjasama dengan Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) mengadakan kuliah maghrib yang berlangsung di Masjid Kampung Baru.

 


Tag: