• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

11 Barang Disenarai di Bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2024

HULU TERENGGANU, 7 Februari - Sebanyak 11 barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)Tahun Baru Cina 2024 yang berkuat kuasa bermula 6 hingga 14 Februari di Terengganu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan.

"11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut ialah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

"Selain itu, turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran SHMMP Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya Xiri Wakaf Tapai di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diharapkan dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.

Saharuddin memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Tambah beliau, pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

Justeru itu, seramai 117 penguat kuasa KPDN di seluruh negeri dikerahkan untuk membuat pemantauan dan  melakukan pemeriksaan harga sempena pelaksnaaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut.

"Pihak kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang 
disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.