• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 4 November – Kira-kira 11 rumah terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Binjai, Chendering malam semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebelum ini kawasan tersebut sudah dikenalpasti sebagai lokasi berpontensi dinaiki air kerana ia berdekatan dengan bukit.

Berikutan itu katanya, tindakan awal telah dilakukan bagi mengelakkan keadaan lebih bertambah teruk.

“Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai telah mengambil beberapa langkah seperti kerja pembersihan longkang sedia ada, mendalamkan kawasan yang cetek dan mengutarakan isu ini dalam perhatian peringkat atasan.

“Buat masa sekarang juga kerja pembinaan longkang baharu sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Air melimpah dari bukit Cerun Binjai tertumpu di sini (Kampung Binjai) kemudian mengalir ke muara Kuala Ibai. Tahun-tahun sebelum ini kira-kira 18 keluarga dipindahkan apabila datang musim banjir,” ujarnya ketika ditemubual pemberita selepas melawat keadaan di Kampung Binjai hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sekretariat Bencana Daerah Kuala Terengganu melaporkan anggaran mangsa terjejas adalah seramai 51 orang.

"Namun, hanya satu keluarga telah dipindahkan di rumah penginapan ‘Homestay’ berdekatan," kata kenyataan itu.


Tag: