• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

123 Warga Hulu Besut Terima Hak Milik Tanah

BESUT, 24 Februari – Seramai 123 peserta di 12 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut telah menerima dokumen hak milik atau geran tanah pada hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kesemua peserta di 12 RTB yang terlibat adalah di RTB Sungai Kerian, RTB Durian Telor, RTB Sungai Lah, RTB Bukit Merah dan beberapa lagi RTB. 

Katanya, beliau juga difahamkan pelbagai golongan peserta RTB kali ini, termasuklah golongan muda yang baru berkahwin dan berhasrat untuk membina kediaman sendiri atas tanah yang diterima.

“Kerajaan negeri sedar bahawa tanah merupakan aset yang sangat penting dan bernilai, bukan sahaja kepada agensi kerajaan atau swasta, malah kepada semua individu. 

“Oleh yang demikian, Kerajaan negeri sentiasa prihatin akan perkara ini dan akan memastikan sebarang isu berkaitan dengan pemberimilikan tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tanah kepada penduduk DUN Hulu Besut bertempat di Padang Astaka Pasir Akar, Kampung Pasir Akar, Besut di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.

Tambah Ahmad Samsuri, prosedur berkait dengan tanah memakan sedikit masa serta perlu diuruskan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan berlaku.

Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua rakyat yang sentiasa memahami dan bersabar dalam urusan ini.

“Tanah di Terengganu ini bukanlah milik saya, Yang Berhormat (YB) atau pegawai-pegawai melainkan kami hanya diamanahkan sahaja untuk menguruskan tanah kerajaan ini,” katanya.

“Tuan-tuan dan puan-puan selaku pemilik berdaftar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tanah tersebut, haruslah menjaga tanah dengan sebaiknya, serta tidak membiarkan tanah terbiar tanpa sebarang usaha," jelasnya.

Beliau mengucapkan tahniah kepadanAdun Hulu Besut, Pejabat Tanah dan Daerah Besut dan Pejabat DUN kerana berjaya menyelesaikan sejumlah besar permohonan tanah RTB di Daerah Besut.

Ahmad Samsuri berharap kerjasama dan komitmen yang diberikan dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

 


Tag: