• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

128 Anak-Anak Anggota Peladang Sertai Kem Tahfiz

Ariffin Deraman (tengah) bersama para peserta Kem Tahfiz Anak-Anak Anggota Peladang kelmarin.
Oleh: Ahmad Fadhilah

MARANG, 23 Disember - Seramai 128 orang peserta telah menjayakan Kem Tahfiz Anak-Anak Anggota Peladang yang terdiri daripada anak-anak Peladang sekitar kawasan Bukit Payung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, al-Quran sangat penting dan berperanan sebagai petunjuk kepada umat Islam yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru, katanya, mempelajarinya merupakan suatu kewajipan kepada semua umat Islam. Menghafaz al-Quran adalah termasuk fardu kifayah.

"Di dalam solat, ada rukun Qouli iaitu bacaan dalam solat. Untuk sempurna solat, bacaannya mestilah dilakukan dengan betul.


“Di sini timbul wajibnya mempelajari al-quran kerana di dalam solat, kita wajib membaca ayat suci al-quran terutamanya surah al-Fatihah," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kem Tahfiz Anak-Anak Anggota Peladang di Dewan Terbuka Pertubuhan Peladang, Bukit Payung, Marang kelmarin.

Dalam pada itu, ketika ditemui, Ketua Fasilitator, Hajah Nor Aini Anuar berkata, kem itu bertujuan untuk mendidik anak-anak mendirikan solat secara sempurna serta mendekatkan diri mereka kepada al-Quran.


“Semasa sesi pembelajaran kem tahfiz ini, ianya terdiri daripada tiga modul iaitu hafazan, solat dan tilawah. Kem ini diadakan selama 20 hari bekerja bermula 25 November sehingga 20 Disember 2018. Sehinggalah majlis penutup diadakan pada hari ini," katanya.

Beliau juga berharap agar para peserta dapat memperoleh ilmu semaksima mungkin untuk direalisasikan dalam kehidupan dari segi penjagaan solat secara sempurna dan berterusan dan ayat-ayat hafazan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

Tag: