Jalur Gemilang
Berita :
Sistem Parkir PBT di Terengganu Perlu Diselaras - TSIS
Sistem Parkir PBT di Terengganu Perlu Diselaras - TSIS
Noraini Jusoh
6 jam yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 22 September – Sistem parkir yang berbeza antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu perlu diselaraskan bagi memudahkan urusan rakyat, khususnya ketika bergerak dari satu daerah ke daerah lain.

Pegawai Eksekutif Strategi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan M Ali berkata, perbezaan sistem, kaedah pembayaran dan prosedur parkir antara PBT ketika ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, keadaan tersebut secara tidak langsung menyebabkan rakyat masih merasai sempadan pentadbiran PBT dalam urusan harian walaupun berada dalam negeri yang sama.

“Bagi pengguna, perjalanan dari satu daerah ke daerah lain sepatutnya menjadi satu perjalanan yang lancar.

“Namun, pengalaman itu boleh menjadi rumit apabila memasuki kawasan PBT berbeza dan perlu berhadapan dengan sistem, kaedah pembayaran atau prosedur parkir yang berlainan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Eikhwan berkata, sistem parkir yang tidak seragam juga berpotensi menyebabkan pengguna mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan parkir.

Katanya, keadaan itu turut boleh memberi kesan kepada pelawat dan perniagaan tempatan sekiranya akses ke sesuatu kawasan menjadi lebih sukar.

Menurut beliau, pengurusan parkir tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penyediaan tempat meletakkan kenderaan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada keseluruhan rantaian mobiliti bandar.

“Parkir ialah sebahagian daripada rantaian mobiliti bandar. Seseorang mungkin memandu ke bandar, meletakkan kenderaan, berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam dan meneruskan perjalanan ke destinasi lain.

“Jika setiap bahagian perjalanan ini diurus secara berasingan, pengalaman mobiliti pengguna turut terganggu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Eikhwan berkata, penyeragaman sistem parkir tidak bermaksud kuasa setiap PBT perlu dihapuskan.

Sebaliknya, setiap PBT masih boleh menentukan kadar, zon, penguatkuasaan dan pengurusan hasil mengikut keperluan kawasan masing-masing.

“Apa yang perlu berubah ialah pengalaman di hadapan (front-end) pengguna. Terengganu boleh bergerak kepada konsep satu platform untuk pengguna tetapi pengurusan kekal mengikut PBT.

“Pengguna hanya memerlukan satu akaun atau satu sistem untuk membuat bayaran dan mendapatkan maklumat parkir di seluruh negeri.

“Di belakang (back-end) sistem tersebut, bayaran, data, kadar dan tindakan penguatkuasaan masih boleh diurus oleh PBT masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu boleh dilaksanakan melalui penggunaan platform teknologi yang saling berhubung, perkongsian data serta penyelarasan antara PBT.

Dalam jangka panjang, katanya, sistem parkir bersepadu boleh menjadi asas kepada pembangunan ekosistem mobiliti Terengganu yang lebih menyeluruh.

Ia termasuk menghubungkan data parkir dengan pengangkutan awam, ECRL, kemudahan park-and-ride, pembayaran digital, pengurusan trafik serta sistem bandar pintar.

“Masalah sebenar bukanlah setiap PBT mempunyai kuasa mengurus parkir sendiri, tetapi apabila rakyat terpaksa mengalami sempadan pentadbiran tersebut dalam urusan harian mereka.

“PBT boleh kekal berautonomi di belakang tabir, tetapi pengalaman rakyat di hadapan sepatutnya mudah, seragam dan saling berhubung,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan