• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

137 Penduduk Hulu Besut Gembira Terima Geran Tanah

Oleh: Norekwan Mamat

BESUT, 6 September - Seramai 137 penduduk Hulu Besut menzahirkan rasa gembira apabila menerima geran kekal Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dan Borang 5A di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Pegawai Penyelarasnya, Mat Daik Mohamad berkata, pemberian geran tanah kekal serta Borang 5A itu membuktikan bahawa kerajaan negeri mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah tanah di kawasan itu.

"Kita perlulah bersyukur dan menghargai apa yang kita perolehi ketika ini kerana ramai lagi penduduk yang memerlukan. Ini membuktikan kejayaan kerajaan negeri merealisasikan manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Insya-Allah selepas ini seramai hampir 600 peserta bakal menerima geran kekal setelah menerima Borang 5A pada majlis penyerahan yang lepas," katanya pada majlis penyerahan di Dewan Futsal Kampung Belaoh di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penerima, Mohamad Lukman Abdul Manaf, 28, merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tersebut.

"Saya sangat gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri membantu kami yang sangat memerlukan," ujarnya.


Tag: