• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

139 Jemaah Haji Terengganu Berangkat ke Tanah Suci

KUALA NERUS, 20 Mei– Seramai 139 jemaah haji Terengganu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Setelah tiba di KLIA, semua jemaah menaiki penerbangan KT032T dan bertolak ke Makkah pada jam 4.00 pagi hari ini.

Ini merupakan penerbangan haji yang ke-30, dan sehingga kini, lebih 7,985 jemaah haji Malaysia sudah selamat tiba di Madinah dan Makkah.

Majlis pelepasan jemaah tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu dan Pengurusan Kanan Tabung Haji, mengucapkan tahniah kepada semua bakal haji Malaysia yang telah terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini.

Beliau menasihatkan para jemaah agar menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di Tanah Suci, serta mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan Tabung Haji demi keselamatan jemaah dan kelancaran proses mengerjakan haji.

“Ganjaran bagi mereka yang mengerjakan ibadat haji sangatlah besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya,” ujarnya.

Beliau berharap agar ibadat haji yang bakal dikerjakan akan meningkatkan lagi iman dan amal dalam mencari keredhaan Allah, demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

 


Tag: