• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

140 Pelajar PASTI Ceria Dapat Baju Raya Baru

BESUT, 10 April - Kecerian jelas terpancar pada wajah 140 orang pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Besut apabila mereka dibawa membeli baju raya baharu di Pasar Raya Pantai Timur.

Pengerusi PASTI Kawasan Besut, Mohd Hilmi Hamdan berkata, pihaknya menganjurkan Program Beli Baju Raya PASTI selama dua hari dengan menyasarkan kepada pelajar yatim, asnaf dan fakir miskin.

"Alhamdulillah, kita telah berjaya membeli baju raya baharu untuk 140 orang pelajar yang terpilih daripada1,290 keseluruhan pelajar PASTI Besut hasil kutipan dan sumbangan orang ramai dengan kos perbelanjaan RM70 setiap orang.

"Daripada jumlah sumbangan sebanyak RM9,800 itu, kita menyasarkan kepada pelajar yatim, asnaf dan fakir miskin. Mereka bergembira dengan apa yang disumbangkan oleh orang ramai. Kami selaku pihak PASTI Kawasan Besut hanya menjadi pemudah cara dan perantara untuk membantu anak-anak pasti dan meringankan bebanan ibu bapa dalam membuat persiapan bagi menyambut hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pengerusi PASTI membantu pelajar memilih pakaian

"Saya mewakili pihak PASTI mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang baik daripada sekitar Besut dan juga dari luar Terengganu yang turut membuat sumbangan. Mudah-mudahan hal ini akan menjadi amal jariah dan pahala yang berpanjangan kepada semua penderma sekalian," ujarnya selepas program berkenaan.

Turut hadir bersama dalam program tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut, Azbi Salleh yang turut memberi sumbangan kepada PASTI.

Menurutnya juga, di peringkat PASTI Kawasan Besut akan meneruskan lagi program-program sebegini pada masa hadapan.

Katanya, program itu telah pun diadakan sejak beberapa tahun yang lepas setiap kali Ramadan sempena menyambut ketibaan perayaan Aidilfitri.

Penyerahan sumbangan kepada PASTI Kawasan Besut

Dalam pada itu, ibu kepada pelajar, Siti Masitah Zakria, 28 menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana dipilih menerima bantuan.

"Saya menyucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PASTI Kawasan Besut kerana meringankan bebanan kami ibu bapa.

"Setiap tahun anak saya terpilih menerima sumbangan baju raya. Anak saya pun gembira dapat beli baju raya baru. Semoga Allah membalas jasa pihak PASTI dan para penyumbang," ujarnya.
 


Tag: