Jalur Gemilang
Berita :
15 Sarang Pungguk Jelapang Bantu Kawal Tikus di Kebun Sawit Setiu
15 Sarang Pungguk Jelapang Bantu Kawal Tikus di Kebun Sawit Setiu
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
58

SETIU, 5 Oktober – Sebanyak 15 unit sarang burung pungguk jelapang akan dipasang di Kampung Jelapang di sini bagi membantu pekebun kecil mengawal populasi tikus di kawasan tanaman kelapa sawit melalui projek Barn Owl for Smallholder Initiative (BOSI) 2.0.

Projek yang dilaksanakan TDM Plantation Sdn Bhd itu menggunakan burung pungguk jelapang sebagai agen kawalan biologi semula jadi. Lokasi pemasangan sarang ditentukan berdasarkan penilaian lapangan bagi menyokong penghunian burung berkenaan dan meningkatkan keberkesanan kawalan.

Inisiatif anak syarikat TDM Berhad itu dilaksanakan dengan kerjasama Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) serta komuniti pekebun kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation, Hamdan Ibrahim berkata, penglibatan syarikat itu dalam BOSI 2.0 merupakan sebahagian usaha memperluas amalan pertanian mampan yang lebih bertanggungjawab dan berasaskan pendekatan semula jadi.

“BOSI 2.0 menyediakan ruang untuk mengaplikasikan hasil penyelidikan dalam situasi sebenar di lapangan.

“Melalui kerjasama dengan USM, MPOGCF dan komuniti setempat, TDM Plantation menyokong penerapan kaedah kawalan biologi yang dapat membantu pekebun kecil mengurus ancaman tikus dengan pendekatan yang lebih mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Inisiatif Burung Pungguk Jelapang Pekebun Kecil Kelapa Sawit Negeri Terengganu (BOSI 2.0) di Akademi TDM, Sungai Tong, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Ladang-Ladang Trengganu, Kamaruzaman Abdullah.

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Prof Madya Dr Amir Hamzah Ahmad Ghazali; Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail; serta Pengerusi JPKK Kampung Jelapang, Abdul Raof Mohamed.

BOSI 2.0 dilaksanakan bagi tempoh 2025 hingga 2027 dengan peruntukan RM200,000, melibatkan 60 pekebun kecil di empat lokasi utama di Semenanjung Malaysia, termasuk Terengganu.

Program itu menggunakan pendekatan Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management atau IPM) yang menggabungkan elemen ekologi dan sains bagi menangani serangan tikus secara lebih bersepadu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan