• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

150 Penuntut TESDEC Intai Peluang Kerjaya Di Perodua

Pengurusan TESDEC bergambar bersama panel Perodua dan tetamu jemputan.

MARANG - Seramai 150 penuntut jurusan diploma dan sijil Kemahiran Kejuruteraan (Automotif) Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) mengambil peluang merancang kerjaya masa bersama Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) dalam 'Perodua Career Talk' yang berlangsung di Kampus TESDEC, Bukit Kor, di sini, hari ini.

Taklimat selama dua jam oleh Pengurus Pembangunan Modal Insan Perodua, Waisulqurni Ismail itu dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai medium kepada penuntut mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai industri otomobil negara.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan Kemahiran dan Akademik), Sheikh Nehmil Emir Alias berkata, program itu diadakan untuk membuka hubungan antara pihak industri dan pusat latihan.

Sheikh Nehmil menyampaikan cenderahati lepada wakil Perodua.

"Ini merupakan saranan kerajaan supaya tiada jurang antara keduanya selain bertujuan mendedahkan penuntut tentang keadaan semasa industri dalam negara.

"Melalui program ini, penuntut dapat melihat peluang untuk bidang yang diceburi dan mencongak langkah dalam menyambung karier dalam bidang yang dipelajari," katanya.

Dalam pada itu, Waisulqurni turut meluahkan kegembiraan kerana dapat memberi pendedahan realiti industri kepada penuntut.

"Sebelum ini, penuntut sukar mendapat peluang daripada industri. Program ini membuka mata tentang kepakaran yang menjadi permintaan dalam bidang yang mereka pelajari," katanya.

Pameran model kereta Perodua turut memeriahkan program tersebut.

Penuntut TESDEC gembira dapat gambaran sebenae industri automotif dalam negara.



Tag: