• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

150 Peserta RTB Terima Geran Tanah

DUNGUN, 13 Jun- Seramai 150 peserta dari Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Paya Apek dan RTB Paya Rengit menerima geran tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, penerima geran tersebut merupakan mereka yang telah membuat bayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada harga asal yang telah diserahkan borang 5A pada pertengahan November tahun lepas.

"Apa yang dijanjikan kita dalam menifesto telah kita tunaikan. Dan ia jelas membuktikan PAS Terengganu mampu mentadbir negeri.

"Janji sudah kita ditepati. Kita tidak cakap saja bahkan kita telah melunaskan janji manifesto justeru, kepada peserta lain yang sudah terima borang 5A tu, cepat - cepatlah selesaikan bayaran premium tanah, jangan sampai satu masa pihak Pejabat Daerah menarik balik nama peserta," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Serahan Geran RTB Paya Apek dan Paya Rengit DUN Paka 2023 di Dewan Sivik Paka, semalam.

Dalam ucapannya, Satiful turut berpesan kepada penerima agar berusaha membuat pembersihan kawasan tanah yang diberikan.

"Bincanglah bersama-sama, tubuh satu 'group komuniti' atau 'group whatsapp' dan berpakatlah dengan buat pungutan duit untuk bersih kawasan tanah.

"Dan juga diharapkan berusahalah bina rumah, jangan sampai empat, lima tahun akan datang, masih lagi naik semak samun," ujarnya.


Tag: