KUALA TERENGGANU, 12 November - Kerajaan Negeri Terengganu mendakwa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah membuat pengisytiharan palsu kepada Bursa Malaysia apabila menyenaraikan hampir 15,000 hektar tanah milik kerajaan negeri sebagai aset syarikat itu semasa proses penyenaraian pada tahun 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan, dakwaan tersebut bukanlah sekadar serkap jarang tetapi ia adalah berdasarkan data dan fakta yang kukuh.
"Lebih tragis lagi apabila FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, mereka mengisytiharkan tanah kita hampir 15,000 hektar sebagai aset mereka. Sedangkan tanah itu masih berstatus tanah milik kerajaan negeri Terengganu.
"Ini bermakna mereka telah membuat pengisytiharan palsu kepada Bursa Malaysia." katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Enakmen Bekalan 2026 di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Seperti yang telah diulas oleh Dr. Azman kepada media sebelum ini, tanah yang dipertikaikan melibatkan 10 ladang komersial Felda di empat daerah (Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman) yang sepatutnya dibangunkan dengan menempatkan peneroka atau memberikan pulangan hasil kepada kerajaan negeri, namun syarat itu tidak dipenuhi.
"Tanah ini bukan kawasan rancangan peneroka. Ia ladang komersial. Tiada penempatan peneroka, tiada hasil kepada negeri, tiada perkongsian keuntungan," ujarnya.
Tambah beliau, Felda telah menyerahkan ladang tersebut kepada FGV pada tahun 2012, tetapi status hak milik masih kekal di bawah kerajaan negeri, menjadikan tindakan FGV mengisytiharkan tanah berkenaan sebagai aset mereka tidak sah dari segi undang-undang dan bercanggah dengan peraturan Bursa Malaysia.
Kerajaan negeri kini menuntut bayaran semula 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit) ladang terbabit selain premium dan cukai tanah tertunggak.
"Kita telah beri tempoh kepada Felda hingga 29 November 2025 untuk memberi maklum balas rasmi. Jika tiada jawapan, kerajaan negeri akan keluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kerana pencerobohan tanah kerajaan serta meneruskan tindakan undang-undang.
"Andai kata proses penyitaan ini terpaksa dilakukan, dia bukan salah kerajaan negeri. Dan dia sama sekali bukan satu tindakan mengejut. Kerana kita sudah maklumkan sejelas-jelasnya isu ini kepada pihak pengurusan FELDA dalam mesyuarat," tegas beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu turut menjelaskan, langkah berkenaan bukan untuk menjejaskan kebajikan peneroka Felda tetapi bagi mempertahankan hak rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap tanah yang digunakan tanpa penyelesaian sah selama hampir empat dekad.
"Kita dah panggil JPKK kawasan tanah rancangan Felda. Memahamkan mereka bahawa apa yang kerajaan negeri sedang perjuangkan sekarang ialah bukan tanah rancangan yang ada peneroka. Ini tanah rancangan Felda yang dibangunkan sebagai ladang komersial sejak daripada tahun 1985.
"Kita bukan lawan peneroka. Ini soal hak negeri dan hasil rakyat. RM600 juta ini bukan jumlah kecil," katanya lagi.