• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

152 Penari Cilik Tunas SUKTRA Catat Rekod MBOR

KUALA TERENGGANU, 2 Februari- Seramai 152 penari cilik Tunas Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (Suktra) berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Bilangan Pelajar Paling Ramai Dalam Tarian Gamelan Melayu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, program tersebut diadakan bagi memperkenalkan seni warisan gamelan Melayu yang mula bertapak di negeri ini semenjak tahun 1920-an di Istana Kolam di sini.

“Sebenarnya tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk memastikan pemuliharaan terhadap seni budaya kita terutamanya gamelan tidak akan pupus.

“Jadi, kita hendak pastikan bahawa bukan sahaja dapat mengekalkan (tarian gamelan Melayu) tetapi mengembangkan lagi samada di peringkat negara mahupun di seantero dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Se-Abad Gema Gemalai Gamelan Melayu-Senandung Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta wakil MBOR, Nazrul Hafizi.

Pada majlis itu para penari cilik Tunas Suktra mempersembahkan tarian gamelan bertajuk 'Ketam Renjong' selama lebih kurang lapan minit dengan diiringi 17 pemuzik.

Murid yang berumur lapan hingga 12 tahun dari 13 buah sekolah terpilih itu telah memulakan latihan sejak setahun lalu dengan bimbingan 18 jurulatih Suktra yang kini dibawah kelolaan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.