• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

153 Peniaga Bazar Ramadan Dikompaun

KUALA TERENGGANU, 14 April - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengenakan kompaun kepada seramai 153 peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan sejak awal Ramadan tahun ini dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM18,100.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr.Kasemani Embong berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak mematuhi etika pemakaian seperti tidak memakai apron, tiada suntikan pelalian anti-typhoid, tidak memiliki Sijil Latihan Pengendali Makanan dan tidak menjaga kebersihan diri seperti berkuku panjang.

"Kesalahan boleh dikatakan berlaku di bazar Ramadan di semua daerah melalui pemeriksaan yang kita telah jalankan ke atas 4,938 petak jualan di 59 bazar Ramadan di negeri ini yang dilakukan secara berperingkat melalui 104 pasukan terdiri 278 anggota JKNT yang telah ditubuhkan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan beroperasi sepanjang bulan puasa ini,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media, ketika melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Batu Burok, di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 122 sampel makanan yang berisiko tinggi mendatangkan keracunan makanan turut diambil.

"Seperti kuih muih yang berkuah, juadah yang berasaskan santan, kerabu dan sebagainya yang kita merasakan boleh mengundang kepada risiko kita ambil untuk dibuat analisis.

"Bagi memudahkan orang ramai untuk membuat sebarang aduan apabila timbul permasalahan pihak kami telah membuat inisiatif menyediakan QR Kod secara khusus supaya sebarang perkara tidak diingini dapat dielakkan daripada berlaku,"katanya.